Saturday, April 9, 2011

Peluang Pekerjaan Untuk Golongan OKU

Keadaan sunyi dan senyap, itu ungkapan yang sesuai untuk mengambarkan temuduga program penempatan pekerjaan yang melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri Hoe Lean Fatt berkata lebih 81 peluang pekerjaan ditawarkan oleh enam majikan menerusi program itu yang melibatkan pelbagai sektor bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

"Program yang kali pertama diadakan itu, dibuat berikutan peluang pekerjaan yang terbuka ditawarkan oleh majikan dan golongan sasar program itu ialah pencari kerja yang terdiri daripada golongan OKU khususnya yang mengalami kecacatan pekak dan bisu," katanya kepada pemberita di sini.

Antara majikan itu ialah daripada industri perkilangan, perhotelan serta perkhidmatan iaitu Malaysia Pharmaceutical Industries Sdn Bhd, Restoran Ayamas, Clarion (M) Sdn Bhd, Restoran Pizza Hut, Shangri-la's Rasa Sayang Resort & Spa dan Setepak Sireh Seulas Pinang.

Hoe berkata perancangan program itu akan dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan daripada golongan itu. "Program itu adalah percubaan pertama JTK kerana sebelum ini tidak pernah ada program yang spesifik kepada golongan seperti itu, dan JTK merancang untuk mengadakan program penempatan pekerjaan kepada golongan ibu tunggal, bekas penagih, banduan serta pesara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Zalina Anita Zainal Abidin, 46, berkata kecacatan pekak dan bisu yang dialaminya itu menyukarkan dia untuk mencari pekerjaan yang sesuai di samping umur yang semakin meningkat. "Program itu merupakan satu peluang terbuka kepada golongan seperti saya untuk mendapatkan kerja dengan mudah," katanya melalui penterjemah menggunakan bahasa isyarat.

Nur Hidayah Tan Abdullah , 39, juga mengalami kecacatan bisu dan pekak berkata dia sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap. "Sejak tahun 1992 saya hanya diambil bekerja secara kontrak di kilang-kilang dan kini saya masih bekerja secara kontrak di restoran KFC. Saya masih menaruh harapan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik," katanya.


Fikirkan :

Al-Quran dalam surah al Hujurat, ayat 13, memberikan asas bahawa, "Kemuliaan manusia itu berlandaskan takwa". Oleh itu, tidak kira manusia itu normal atau pun Orang Kelainan Upaya, hendaklah kita bertakwa dan saling bantu-membantu sesama manusia.


From : Iluvislam

No comments:

Post a Comment